Manusia lupa Tuhan
Maha Kuasa. Berjaya atau tidak, senang atau susah, segala sesuatu yang berlaku
semuanya atas keizinanNya. Bencana alam, musibah negara atau apa sahaja. Apa yang
berlaku, semua sesuatu yang tidak kena ada sahaja orang yang ingin disalahkan. Dituduh.
Dan dipertanggungjawabkan.
Sedangkan hidup
ummah itu bersama. Seharusnya bersatu. Bukan menuding jari tapi bangkit bersatu
dan bekerjasama. Muhasabah diri. Itu yang seharusnya. Bukannya mencari salah
siapa. Bukannya mencipta teori dan menyebar fitnah durjana. Malangnya bagi satu
peradaban dunia, apabila terjadi sahaja bencana atau apa sahaja musibah
terhadap Negara, bukannya mahu saling menenangkan, tapi suka mereka cerita,
menyebar fitnah supaya keadaan kelihatan teruk. Sensitiviti keluarga dan
saudara tidak di ambil kira. Atas kepentingan apa satu fitnah dan cerita buruk
direka?
Menangguk di
air keruh. Bukannya mahu memberi sokongan kepada Negara, namun masa musibah dan
bencana, rata-rata mengambil peluang untuk menjatuhkan Negara sendiri, tanpa
mengira kesannya perbuatan mereka. Sungguh, pentingkan diri sendiri!
Mereka rasa
merekalah yang pakar dalam semua perkara. Bercakap tiada dasar. Tiada bukti. Main
ikut-ikut sahaja. Tanpa sedar mereka mempamerkan kebodohan sendiri. Semuanya demi
kepentingan sendiri, dan yang lagi menyedihkan mereka pun tidak tahu bahawa
mereka berjuang atas dasar apa. Tidak ada pendirian. Mudah terpengaruh. Mudah
percaya. Di mana nilai ilmu sehingga manusia sanggup menerima bulat-bulat
sesuatu perkara tanpa menyiasatnya terlebih dahulu?
Oh. Zaman fitnah
berleluasa. Mungkin ada yang cuba mencari. Tapi dunia bergelumang dengan
pembohongan demi pembohongan. Korupsi. Entah mana maklumat yang boleh dipercaya
dan mana yang tidak. Dan rata-ratanya tidak. Hanya akal dan budi sahaja yang
tinggal untuk membezakan mana fakta dan mana auta. Tapi sayang seribu kali
sayang, manusia sudah tidak punya akal yang waras untuk membezakan semua itu. Aduh,
generasiku..
Kesatuan dan
semangat persaudaraan pudar. Cakna akan saudara sebangsa, seagama semakin
sirna. “Di kampung-kampung masih ada semangat persaudaraan dan cakna”. Aku yang
menulis orang kampung. Yang ada semangat di kampong sekarang ialah semangat
mengumpat, mengata dan menyebar cerita. Hasad dengki. Bertanya khabar konon
ambil berat tapi sebaliknya. Kalau ceritanya sebesar lalat, yang sampai di
akhirnya sebesar garuda. Tidak. Tidak. Sudah tidak ada semangat kekitaan itu. Nilai murni itu nyata memang semakin sirna.
Bukanlah aku
mahu menjadi terlalu negatif. Melihat segala sesuatu dengan persepsi buruk. Tidak.
Tapi terimalah kenyataan bangsaku, bangsaku kamu semakin teruk. Bangsaku semakin
rosak. Ya. Masih ada segelintir yang masih berada di jalan yang betul. Ada. Tapi
golongan minoriti ini hilang kudratnya diserang amukan membabi-buta golongan
yang sudah tertutup mata hatinya. Seolah berputus asa dan menyangka tidak ada
lagi gunanya mereka berbuat apa.
Duhai bangsaku,
bukalah mata! Kita masih punya peluang. Sebuah peluang yang menanti untuk
direbut.
Sayu melihat
dunia sekarang. Dunia terlalu kejam atau aku yang terlalu naif menafsir dunia? Kerana
menyangka benda yang baik-baik sahaja maka akukah seorang yang terkejut melihat
betapa kejam wajah sebenar isinya dunia?
Mencari kekuatan
dan kemurnian hidup yang hilang. Kita hilang arah. Kita hilang tujuan. Lupakah
kita tujuan utama kita diturunkan ke dunia? Lupakah kita destinasi akhir kita
ialah akhirat. Akhirat yang seharusnya kita kejar. Yang kita fokus padanya. Bukan
dunia. Bukan. Bukan dunia.
Sampai bila
generasiku mahu begini? Ayuh bangsaku, tiada jalan selamat. Tiada jalan benar
yang lain melainkan pulang ke pangkuan TuhanMu.
Pulanglah bangsa
dan generasiku. Pulanglah pada TuhanMu yang satu.
No comments:
Post a Comment